~"Manusia bagaikan layang-layang, dimana sering terikat dengan sesuatu...tidak dapat bebas dengan sempurna kecuali tali itu putus barulah ia bebas melayang..."~
Ads
Tuesday, October 23, 2012
Taktik Kotor ‘Awang Hitam’ Memperdayakan Mangsa
Nak Tahu Macam Mana ‘Awang Hitam’ Kelentong Kita? PDRM Ada Jawapannya.
Ibu Pejabat Polis Bukit Aman ada mengeluarkan panduan khas mengenai penipuan yang sering dilakukan warga Afrika kepada penduduk negara ini. Dalam erti kata lain, kalau anda dihampiri warga Afrika yang menggunakan taktik seperti mana yang dinyatakan itu, berhati-hatilah supaya anda tidak menjadi mangsa mereka.
Modus Operandi
1. Mangsa berkenalan dengan saspek melalui internet (chatting/ e-mail)
2. Saspek dan mangsa akan menjadi mesra dan sentiasa berhubung melalui internet dimana saspek akan membuat mangsa mempercayainya samada dalam cinta, persahabatan atau sesuatu urusan perniagaan / pelaburan sebelum menjanjikan sesuatu kepada mangsa.
3. Setelah dapati mangsa mempercayainya, saspek memberitahu akan menghantar barangan cenderahati seperti laptop, barang kemas, mata wang asing atau modal pelaburan / perniagaan melalui perkhidmatan kourier kepada mangsa.
4. Mangsa akan dihubungi oleh saspek yang menyamar sebagai pegawai kastam KLIA atau pekerja syarikat kourier dan diminta masukkan sejumlah wang ke dalam akaun bank yang diberikan oleh saspek sebagai wang proses penghantaran. Setelah wang dimasukkan, mangsa tidak menerima barangan seperti yang dijanjikan dan saspek tidak dapat dihubungi lagi.
5. Kebanyakan saspek kes ini telah menggunakan akaun bank orang lain. Jumlah kes penipuan African scam (penipuan melalui email) yang dilaporkan pada tahun 2012 (Januari hingga Ogos) ialah 41 kes.
Nasihat: Orang ramai dinasihat supaya jangan mempercayai hubungan percintaan / perniagaan di dalam dunia siber tanpa pernah menjumpai. Jangan tamak apabila ditawarkan barangan atau bungkusan yang ditawarkan oleh saspek kononnya barangan kemas dan wang tunai. – Facebook PDRM
http://www.radioinformasi.com/2012/10/05/bagaimana-awang-hitam-memperdayakan-kita/
Monday, October 15, 2012
6 Jenis Umum Wanita Tak Layak Jadi Isteri
1. Al-Anaanah
Terlalu banyak keluh-kesah kerana merasakan segala pemberian suami dalam kehidupan bersama sentiasa tidak mencukupi. Malah, perbuatan ini juga seolah-olah menunjukkan perasaan tidak redha dengan usaha dan pemberian yang diberikan. Terlalu inginkan suami memenuhi kehendak dan nafsu sendiri tanpa melihat dan menjaga perasaan suami. Perbuatan ini mampu mewujudkan perasaan tidak hormatkan suami apatah lagi berterima kasih.
2. Al-Manaanah
Wanita yang suka mengungkit dalam satu-satu perkara. Sekiranya tidak menyukai dengan pengorbanan atau kerja yang dilakukan oleh suami, setiap perkara itu akan diungkit kerana berasa tidak senang. Mudah untuk mengeluarkan kata-kata seperti suami tidak sayangkan dirinya, tidak bertanggungjawab, tidak mengenang budi dan pelbagai lagi.
3. Al-Hunaanah
Wanita yang mempunyai perasaan menginginkan atau berkenan kepada lelaki lain. Juga suka membandingkan suami dengan lelaki lain dalam kehidupan mereka.
4. Al-Hudaaqoh
Wanita yang suka memaksa suami sekiranya inginkan sesuatu atau dalam menyuruh melakukan sesuatu kerja. Sentiasa menekan suami tidak kira masa kerana mahukan nafsunya dipenuhi dan suami diperlakukan seperti orang suruhan. Jika tidak ditunaikan, akan memberikan ugutan seperti ingin lari dari rumah, mahu bunuh diri atau mencemarkan maruah suami sendiri.
5. Al-Hulaaqoh
Wanita yang sibuk menghabiskan masanya dengan perkara yang tidak berfaedah seperti suka bersolek, tidur, dan sebagainya hingga mengabaikan urusan rumah tangga. Malah, langsung tidak melakukan perkara-perkara yang sunat seperti zikir atau pun menjaga anak-anak.
6. As-Salaaqoh
Wanita yang gemar berbicara dan bergosip mengenai suami. Sentiasa memburukkan perihal diri suami di mata orang lain.
[ “Wanita-wanita yang keji adalah untuk lelaki-lelaki yang keji, dan lelaki-lelaki yang keji adalah untuk wanita-wanita yang keji. Dan wanita-wanita yang baik adalah untuk lelaki-lelaki yang baik dan lelaki-lelaki yang baik adalah untuk wanita-wanita yang baik.” – An-Nur; 26. ]
Sunday, October 14, 2012
Berbaloikah Perhubungan Jarak Jauh Suami Isteri?
Rasa untuk bernikah adalah fitrah yang ALLAH datangkan dalam diri setiap hambaNYA. Manusia merindukan kasih sayang hidup berpasangan. Kita menginginkan kemesraan dan kebahagiaan melingkari kehidupan bila mana kita memilih untuk bernikah.
Namun situasi hari ini, suami dan isteri kadang-kadang menghadapi dilema
perpisahan - perhubungan jarak jauh - kerana tuntutan kerjaya. Berjumpa
sebulan sekali atau dua kali. Atau jarang sekali.
Si isteri bekerja di negeri atau negara lain dengan gaji yang selesa. Si
suami juga berada di tempat kerja lain, yang mungkin juga di kampung
halaman sendiri yang menjadi keselesaan dan keutamaan.
Lalu apakah nilai pernikahan jika dihambat perpisahan dan kejauhan?
Suami mengharapkan belaian cinta kasih isteri, yang dulunya haram.. kini setelah halal bermesra-mesra , namun berjauhan pula?
Isteri berharap suami menjadi teman cinta yang melindungi dan menjaga
dirinya dalam pelbagai perkara, namun suami jauh terpisah oleh sempadan
negeri dan negara?
:: Rezeki dan ekonomi ::
Pandangan peribadi saya, isteri lah yang wajar mengikut jejak suami, walau di bumi mana sekalipun suami bertugas. Apatah lagi, jika ia adalah permintaan suami, maka isteri wajib berusaha untuk taat dan melepaskan kerjayanya. (Namun ada kerjaya tertentu seperti tentera, kelasi dll yang pastinya tidak memungkinkan isteri mengikut suami).
Kewajipan untuk taat dan mengikut suami bukanlah syariat ALLAH yang
zalim. Maha Suci Allah dari semua itu. ALLAH sebaik-baik penyusun
kehidupan, maka kita bersangka baik bahawa semua sistem dan peraturan
yang ALLAH letakkan antara suami dan isteri adalah untuk memelihara
kehidupan bekeluarga.
Kalau berhenti kerja, atau bertukar kerja.. akan memberi kesan kepada gaji dan pendapatan?
Usah bimbang, yakinlah ALLAH adalah pemberi rezeki yang sempurna. ALLAH menyusun setepat-tepatnya rezeki buat kita semua – suami, isteri, anak-anak, ibu bapa hatta setiap manusia itu ALLAH telah tetapkan rezekinya.
Kita hanya perlu berusaha pada kadar yang kita mampu.
Jika suami meminta isteri berhenti kerja, suami juga menyatakan
kemampuan menanggung isteri sepenuhnya, subhanallah..inilah yang
terbaik. Terbaik kerana terungkap dalam firman ALLAH, bahawa lelaki itu
yang seharusnya menyara kehidupan seorang isteri.
Maka dengan keringat suami bekerja, akan cukup makan minum dan pakai
seorang isteri. Punya tempat berteduh. Punya kenderaan yang boleh
membawa suami dan isteri ke mana-mana.
Namun harus diingat, gaji suami tak akan pernah cukup untuk isteri yang
‘high maintenance’.. banyak keinginan material dan punya nafsu shopping
atau berbelanja yang tinggi..
Selain itu, benar sekali kata-kata yang biasa didengar “anak itu rezeki...”.
Ya, ALLAH jua telah tetapkan ada rezeki untuk anak-anak itu, kita hanya
berusaha mencarinya dengan cara yang terbaik, bukan dengan cara yang
boleh mengancam hubungan suami isteri.
Mak ayah kita orang susah…?
Bantulah ibu dan ayah mengikut kemampuan kita..dan sebenarnya, adakah ibu dan ayah hanya perlu pada duit dan sumbangan material kita?
Tak. Maka jangan disempitkan erti memberi dan berbakti pada ibu dan ayah.
Sesungguhnya ibu bapa memerlukan anak yang soleh itu lebih dari segala-galanya.
Anak yang soleh, mendoakan keselamatan dan kebahagiaan ibu ayah di dunia dan akhirat. Apatah lagi jika ibu dan ayah semakin tua, anak-anak terlebih lagi perlu mengingatkan ibu dan ayah kepada dunia yang akan habis dan ditinggalkan.
Berharganya pemberian anak-anak bukan pada nilai ringgit malaysia dua
ratus atau dua ribu sebulan, tapi pada keikhlasan dan istiqamah dalam
menghulurkan. Ini yang menjadi nilaian ALLAH.
Anak yang soleh adalah anak yang bertaqwa. Bukankah ALLAh telah
berjanji, akan sentiasa ada rezeki buat hamba-hambaNya yang bertaqwa?
Dan bertaqwa itu datangnya dari ilmu. Maka suami dan isteri usahakan
mencari ilmu agama dan dunia dengan seimbang. Dalam sibuk mencari
rezeki, usahakan ke kelas agama- belajar Al Quran dan Hadis, belajarlah
ilmu-ilmu ALLAh yang memandu kita kepada kebahagiaan sebenar.
Supaya kemudian, bila ilmu dan taqwa menjadi bekal diri… hati merasa
lapang, lagi merasa cukup dengan pendapatan bulanan. Mampu menjadi suami
dan isteri yang bahagia bersyukur dengan rezeki ALLAH.
Dan yang penting juga, perlu memiliki pengurusan kewangan yang baik.
Selain belanja kita suami isteri, hutang-hutang, bil-bil, sewa rumah dan
kereta, jangan lupa masukkan dalam bajet bulan – sumbangan atau sedekah
kita pada ibu ayah, adik beradik dan ahli keluarga terdekat. Boleh juga
disediakan bajet untuk sedekah pada insan-insan yang memerlukan.
Setelah mengatur kewangan dengan baik, setelah berusaha dan berdoa pada ALLAH agar dilapangkan rezeki…apakah masih tidak cukup gaji bulanan..?
Ayuh muhasabah harta benda yang dimiliki..Mungkin ada di sana sini yang kita berbelanja mengikut nafsu...
Berapa almari pakaian kita? Berapa banyak handbag kita? Berapa pasang
kasut yang kita miliki? Jam tangan, handphone, alat make-up, perhiasan
diri dan rumah… semua ini dibolehkan namun bersederhanalah…
:: Duduk jauh vs duduk sekali ::
Setelah duduk satu rumah, hari-hari bertemu muka… awal-awalnya kalian merasakan kebahagiaan hidup berdua. Saling memanjai, saling berkasih sayang, segala aktiviti terasa ‘sweet’ dan indah.
Dalam masa yang sama, berhati-hatilah dengan tipudaya syaitan. Syaitan
telah bersumpah di hadapan ALLAH untuk memecahbelahkan kasih sayang dan
persaudaraan. Rasul SAW juga mengungkap dalam hadisnya bahawa syaitan
sentiasa bersama kita dalam setiap keadaan , dan mudah mempengaruhi bila
kita lupakan ALLAH.
Dan syaitan yang paling hebat mendapat pengiktirafan di kalangan ‘geng’
mereka adalah, syaitan yang berjaya memisah-misahkan suami isteri...
Saat berjauhan, hati sering merindu. Ada rasa teruja dan bersemangat menanti pertemuan saban minggu atau saban bulan. Hati dan diri berusaha memberi yang terbaik pada pasangan.
Namun bila duduk satu rumah, semakin banyak perkara yang dihadapi
bersama, pastinya suasana menjadi lain. Apatah lagi perasaan cinta
selepas bernikah, sukar untuk terus segar seiring dengan masa.
Percayalah...semua pasangan akan berkonflik untuk fasa membangunkan keserasian dan kefahaman.
Jadi harus positif, bersedia untuk belajar dan berubah. Kebahagiaan
dalam pernikahan tidak subur dengan sendirinya, perlu konsisten berbuat
baik, perlu bermujahadah untuk berakhlak baik, perlu ikhlas… mencintai
dan melayani suami dan isteri kerana benar-benar inginkan redha tuhan.
Jika tidak ikhlas mencintai manusia kerana ALLAH , hati terasa sakit
mencintai manusia. Tanpa ALLAH di hati, hati tak mampu memaafkan.
Ujian bakal menerpa silih berganti. Ujian kewangan, ujian mertua dan
ipar duai, ujian hubungan seksual, ujian kerjaya, ujian komunikasi dan
lain-lain lagi bentuk ujian kecil dan besar…
Malah betapa banyaknya pasangan yang rasa ‘sesak dada’ menghadapi
pelbagai-bagai perbezaan yang seakan menghapuskan cinta yang pernah
mekar di dalam dada. Perbezaan psikologi lelaki dan perempuan, cara
bertindak, dan cara berperasaan..jika tidak berusaha difahami, isteri
semakin bosan dengan gelagat suami, suami semakin bosan juga dengan
kerenah isteri...
Juga cara berpenampilan, cara makan dan minum, cara tidur, cara
mengemas, cara menjaga kebersihan, cara bersosial, cara mendidik anak,
cara bershopping… salah satunya atau kebanyakkan perkara ini jika tak
ditangani dengan baik menjadikan hati-hati kita kecewa dengan
pernikahan.
Malah jika semua bentuk-bentuk ujian ini tidak dihadapi dengan emosi dan
pemikiran yang matang, bersedialah anda untuk bercerai selepas dua tiga
tahun usia pernikahan...
Perkongsian ini bukan untuk menakutkan, tapi dari pengalaman isteri-isteri /jua suami-suami yang berkongsi permasalahan.
Ayuh belajar berkomunikasi dengan baik dalam hubungan pernikahan yang
dijalin ALLAH ini. Ungkapkan terima kasih dan penghargaan atas perkara
kecil dan besar yang dilakukan pasangan. Nyatakan ketidakpuasan hati jua
teguran dengan hikmah dan bijak. Saling menasihati dengan kesabaran dan
kasih sayang...
Oleh itu, andai diri bersedia untuk duduk dekat dan serumah dengan
suami, bersedialah mental dan fizikal untuk melaksanakan kewajipan
sebagai isteri, sebaiknya dan seikhlasnya.
Bagi yang bujang, ada yang sering merasa ‘kecederaan hati’ melihat
kebahagiaan pasangan yang gambar bahagia terpapar di mana-mana blog atau
forum maya, namun realitinya.. di sebalik gambar-gambar dan wajah-wajah
bahagia itu, ada pasangan suami isteri itu yang lebih ‘tercedera’ lagi
hati mereka dengan sikap pasangan dan situasi rumahtangga yang diuji.
Dalam sebuah buku yang saya baca, jatuh bangun sesebuah rumahtangga banyak ditentukan oleh peranan isteri dan ibu. Kejayaan dan kegagalan seorang suami juga ada pengaruh besar dari isteri. Maka atas sebab itulah, saya memberi pandangan bahawa yang terbaik adalah isteri menjadi isteri dan ibu sepenuh masa. Tanpa perlu bekerja pada mana-mana majikan lain.
Cukuplah ALLAH dan suami menjadi majikan. Isteri dan ibu fokus pada
membina keluarga yang menjadi tempat berteduh yang nyaman dan harmoni
buat suami dan anak-anak. [Dalam masa yang sama, ada
pertimbangan-pertimbangan lain yang kita bersetuju bilamana isteri
terpaksa bekerja.]
Suami akan tenang bekerja, dan kuat menghadapi tanggungjawab lain di
luar rumah dengan adanya isteri di rumah yang juga tenang dan kuat.
Tenang lagi menenangkan. Isteri yang berilmu dan beriman. Isteri yang
hatinya luas dengan kasih sayang, sabar dan bijak menghadapi suami yang
stress dengan kerjaya dan ujian lain. Isteri yang cekap menguruskan
kerja-kerja rumahtangga dan berhemah menguruskan belanjawan rumahtangga.
Namun bila bekerja, isteri seakan telah habis emosinya di tempat kerja,
dengan bebanan kerja yang meragut senyuman dan ketenangan hati seorang
isteri dan ibu. Pulang ke rumah, suami dan anak-anak tidak punya wajah
teduh seorang isteri dan ibu, kerana ibu juga pulang bekerja dengan
rasa kepenatan mengejar dateline dan seribu satu tugasan di tempat
kerja.
Pada wanita yang terpaksa bekerja, moga ALLAH membantu meringankan beban
kalian menghadapi tanggungjawab mencari rezeki..moga ada jalan keluar
untuk masalah ekonomi yang tak kunjung sudah...
“Bosannya duduk rumah…”
Bosan akan kadang-kadang menimpa, bukan sekadar pada isteri yang duduk
di rumah, mereka yang di tempat kerja juga kadang-kadang merasa bosan
dan malas dengan rutin kerja seharian...
Ya, harus saya akui kadang-kadang hadir rasa bosan tinggal di rumah
bersama anak dan melakukan kerja-kerja rumah, namun itu adalah perasaan
yang sangat manusiawi. Maka saya mencari aktiviti-aktiviti pelbagai yang
boleh dilakukan di dalam dan luar rumah, selagi dalam batas syariat
ALLAH, agar kita dapat menjaga semangat dan keikhlasan dalam berkhidmat
untuk keluarga...
Malah dengan adanya dunia tanpa sempadaan di alam maya, maka pelbagai
bisnes dan aktiviti yang boleh mendatangkan keuntungan di lakukan secara
online. Belajarlah ilmu ini dari yang telah berjaya melakukan.
Jangan sekadar menghabiskan jam-jam yang banyak depan internet, hanya
sembang kosong, bergosip...namun jadikan kemudahan internet sebagai
ruang untuk menambah pendapatan, menambah ilmu agama dan dunia, untuk
mempertingkat kualiti diri sebagai manusia melalui laman-laman web yang
membina.
Penghilang bosan yang utama adalah mengingatkan diri kita hakikat
kehidupan. Kita dalam perjalanan pulang bertemu tuhan...kalau bosan,
tidak boleh berlama-lama. Kalau sedih, usah larut panjang berjela. Kalau
marah, tahanlah semampunya, maafkanlah semua..Mintalah maaf dari orang
yang kita lukai, mohonlah ampun pada ALLAH...
Kuatkan hati, bangun semula...
Bila telah memilih berhenti kerja kerana mengikut suami, jangan menyesali keputusan yang dibuat.
Berbaloikah pengorbanan kita meninggalkan kerjaya yang stabil, hanya untuk melalui ujian rumahtangga yang sebegini..?
Berbaloi insyaALLAH.. Kalian memilih berhenti kerja, kerana cinta dan
niat murni memberi yang terbaik untuk suami dan keluarga, maka ALLAh
akan menjaga kalian. ALLAH adalah sebaik-baik pemelihara diri kita, dan
pemelihara cinta kita.
Yakinlah. Berusahalah menjadi hamba yang soleh. Berimanlah pada ketentuan tuhan.
Moga pilihan kita hari ini akan memberi makna dan nilai yang besar pada saatnya waktu bertemu tuhan.
Sekian perkongsian, moga bermanfaat~
http://sisi-kehidupan.blogspot.com/2011/01/suami-isteri-berbaloikah-perhubungan.html?m=1
[ Erm...segalanya telah terjawab dan Allah S.W.T telah bagi jalan. Tapi, kenapa masih banyak yang memilih selain jalanNya, dan membuat keputusan untuk berpisah..? Adakah mereka kurang dalam hal didikan agama sampai keegoan dan nafsu menguasai diri? Siapakah yang patut bertanggungjawab? Sesiapa yang merasakan tidak bahagia, silalah kembali mendalami dan memahami kembali ilmu agama dan aturan Islam supaya tidak mengikut jalan syaitan. Kerana sesungguhnya syaitan suka untuk menyesatkan, memisahkan dan menghuru-harakan kaum adam, supaya mereka mempunyai teman di neraka kelak. Sama-samalah kita berusaha dan berdoa supaya mengecapi kebahagiaan dan keberkatan dari Allah S.W.T sampai akhirat.. =) ]
Subscribe to:
Posts (Atom)